Friday, 5 February 2016

Filled Under:

3 Foto wajah suami baru Nor Raha Hamad, bekas isteri kedua Salih Yaacob

    Tatkala kami bersua, terpancar sinar bahagia di wajah ibu kepada enam anak ini. Tidak mahu berselindung, Nor Raha Hamad, 47, mengakui, hatinya kini lebih tenang dan mendoakan hanya terbaik bagi kelangsungan hidup pada masa akan datang.

    “Ya, saya sudah berkahwin dengan seorang lelaki berusia 49 tahun yang sudah mempunyai isteri dan bapa kepada 13 orang anak. Ini adalah jodoh yang tuhan telah tulis buat saya,” kata bekas isteri pelawak Salih Yaccob ini, memulakan bicara dalam pertemuan eksklusif dengan Mega.

    Nor Raha muncul kepada media atas nasihat suami yang baru dinikahinya, yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Z pada Disember lalu. Ini adalah bagi merungkai segala misteri di sebalik cerita-cerita yang dibangkitkan oleh Salih sebelum ini yang mendakwa wanita itu meminta cerai kerana punya orang ketiga selepas bertemu rakan lama dalam sesi reunion. Mega catatkan semula hasil temubual dengan anak kelahiran Perak ini mendedahkan punca perceraian antara mereka dari sudut Raha sendiri.

    MEGA: Nampak bersinar-sinar kebahagiaan di wajah Raha. Mungkin boleh kongsi sikit kehidupan sekarang.

    RAHA: Jelas ke nampak bahagia itu? Alhamdulillah, saya bahagia sekarang. Kalau hendak diibaratkan, mungkin seperti burung yang bebas terbang di udara (ketawa). Mungkin tafsirannya agak berlebihan, tetapi jujur, itu yang saya sedang alami sekarang. Anak-anak pun sedang membesar dengan baik, keluarga pun sihat-sihat belaka. Semuanya baik-baik sahaja.



    Sudah pun bergelar isteri walaupun baru saja bercerai. Boleh kongsi sedikit, bila Raha melangsungkan pernikahan dengan Mr Z?

    Ya, saya sudah berkahwin semula. Pada usia 47 tahun ini, saya tidak sangka akan ada lelaki yang sanggup melamar lagi. Sebenarnya saya risau juga. Maklum sajalah, siapa mahu beristerikan nenek kepada empat cucu seperti saya ini, kan? Syukur kepada Allah, jodoh saya untuk bergelar isteri buat kali ketiga masih ada. Suami saya sekarang berusia 49 tahun dan kami melangsung pernikahan di salah sebuah hotel di ibu kota pada Disember lalu.

    Perkahwinan kali ketiga ini, saya difahamkan oleh Salih yang Raha merupakan isteri kedua juga, betul?

    Ya, betul. Alhamdulillah, isteri pertama menerima kehadiran saya dengan hati terbuka. Jujur, dia pada awalnya sukar untuk menerima saya, tetapi setelah mendengar dengan mulut saya sendiri apa yang saya alami semasa bersama Salih, dia mengerti derita diri ini. Malah, semasa majlis pernikahan saya dengan suami, dia turut hadir dan menyaksikan sendiri akad nikah dilafazkan suami kami. Ibu bapa saya, anak-anak juga menerima suami saya. Seperti saya kata, inilah jodoh.

    Sebelum ini, Salih tampil membuat kenyataan yang seakan meletakkan punca perceraian adalah disebabkan oleh Raha sendiri. Malah, dia pernah mendedahkan wujudnya orang ketiga menyebabkan Raha mula tawar hati, betul ke begitu?
    Saya sebenarnya malas untuk ambil peduli kenyataan-kenyataan Salih sehinggalah satu ketika, suami menyuruh saya untuk tampil ke hadapan menerangkan perkara sebenar menyebabkan keruntuhan rumah tangga kami. Bukan saya mahu menegakkan benang yang basah, cuma kenyataan-kenyataan Salih sebenarnya jauh dari apa yang terjadi.

    Saya juga tidak mahu, suami saya terus-menerus dituduh sebagai orang ketiga. Tuduhan itu bagi saya agak melampau, kerana saya dengan suami baharu sudah lama kenal. Sejak kecil lagi kerana kami membesar di kawasan yang sama, di Bangsar. Jadi, mana datang orang ketiga?

    Malah, Salih juga ada mengatakan pertemuan semula atau reunion sebagai punca sedangkan saya sudah hampir lima tahun terlibat dengan aktiviti itu, jadi saya tidak pasti mengapa Salih mengeluarkan kenyataan sebegitu.


    Jadi apa sebenarnya yang menjadikan hati Raha betul-betul tawar sehingga nekad memohon cerai?

    Sebenarnya, saya sudah lama menahan derita, 23 tahun bukan tempoh singkat. Kalau boleh, dari awal dulu saya ingin dilepaskan, tetapi memikirkan anak-anak yang sedang membesar, saya tahan dan terus bersabar.

    Hubungan kami sudah lama bermasalah umpama retak menunggu belah. Pada 2012, saya pernah sekali meminta untuk diceraikan. Ketika itu, Salih datang dan memujuk. Hati saya ketika itu rapuh dan apabila dipujuk, saya beri lagi peluang.

    Namun, tahun demi tahun, Salih tidak langsung menunjukkan sebarang perubahan. Saya dibiarkan tanpa perhatian. Hati isteri mana yang sanggup bersabar 23 tahun memendam rasa. Tahun lepas, bulan Julai, saya nekad memohon cerai. Salih tidak mengendahkan sehinggalah bulan September, dia melafazkan cerai talak satu di rumah kami.

    Adakah kerana hidup berkongsi suami menyebabkan kurangnya kasih sayang dan perhatian yang diberikan Salih?

    Poligami itu tidak salah sekiranya suami bijak berlaku adil dan tidak melebih-lebihkan isteri kesayangannya. Tetapi itu yang berlaku dalam rumah tangga kami. Saya langsung tidak diberi perhatian. Bayangkan, ada ketika, sehingga lebih seminggu, dia langsung tidak bertanya khabar tentang saya dan juga anak-anak. Entah makan atau tidak, hidup atau tidak, semua dia tidak kisah.

    Zaman sekarang teknologi semua ada, Telefon atau hantar Whatsapp sahaja. Tetapi, dia tak buat semua itu. Saya balik kampung seminggu sehingga sudah pulang ke rumah pun dia tidak tahu.

    Saya seperti tidak bersuami. Ibarat digantung tidak bertali. Hati saya sakit, menderita. Sabar saya sudah habis.


    Mungkin ada sebab lain juga yang menyebabkan Raha meminta cerai?

    Salih pernah menafikan masalah kewangan sebagai punca. Jangan tipulah. Duit kadang-kadang tidak diberi. Saya meniaga sendiri menjual rempeyek bersama anak-anak untuk menyara 
hidup.

    Bukan bererti Salih lupa tanggungjawab, dia ada beri, tetapi mana cukup untuk kami lima beranak. Kadang-kadang anak pergi rumah isteri lain untuk meminta duit daripada bapa mereka, seperti pengemis saya lihat anak-anak saya.

    Kadang-kadang, hendak bagi RM50 untuk berbuka puasa pun susah. Saya ingin juga melihat anak menjamu makanan yang sedap-sedap ketika berbuka, tetapi apakan daya, itulah rezeki kami pada ketika itu.

    Bukan mahu membuka aib Salih, tetapi saya perlu tampil memberi tahu kebenaran supaya tiada pihak terus menuduh saya sebagai perempuan gatal atau punca perceraian. Cukuplah saya menderita selama ini. Saya cuma ingin bahagia.

    Diceraikan oleh Salih, pernah atau tidak, Raha rasa ralat atau menyesal dengan tindakan itu?

    Menyesal? Tidak mungkin. Sejujurnya, saya lega. Hanya tuhan yang tahu betapa leganya saya ketika cerai dilafazkan. Seolah-olah derita yang ditanggung selama ini terlerai satu-persatu.

    Sekiranya saya tidak berkahwin lagi pun, saya tetap dengan keputusan berpisah dengan dia. Saya selama ini menyara hidup sendiri. Memang agak sukar kerana Salih yang membayar rumah dan memberi nafkah, tetapi saya nekad.Malah, sebelum memohon cerai, saya sudah buat solat istikharah untuk memohon petunjuk daripada Allah. Alhamdulillah, saya kira inilah yang terbaik buat saya.

    Tindakan Raha yang terus berkahwin selepas habis tempoh edah menimbulkan persepsi yang Raha sememangnya sudah mempunyai orang lain sebelum bercerai. Mungkin ada 
penjelasan.

    Apa yang saya boleh katakan, ini jodoh. Saya dengan suami sudah lama kenal kerana kami hidup berjiran semasa kecil dahulu dan dia merupakan pengerusi kepada kelab reunion yang saya sertai. Pada mulanya, kami kenal hanya sebagai rakan. Tiada istilah bercinta. Namun selepas saya diceraikan, dia melamar untuk mengahwini saya. Bagi saya itu bukan isu.

    Saya berkahwin dengannya bukan kerana nafsu, tetapi rasa ingin disayangi. Saya ingin perhatian daripada suami. Saya tidak minta dibelai setiap saat tetapi cukuplah jika memberi rasa yang saya sebenarnya bersuami. Sekarang baru saya rasa perasaan itu. Memang usia perkahwinan kami masih baru, tetapi setakat ini Alhamdulillah, suami memberi kasih sayang seadilnya. Saya juga sudah memberi jaminan kepada isteri pertama yang dia tidak akan rasa seperti dimadukan. Itu janji saya untuk tidak merampas kasih antara mereka.

    Di akhir bicara, mungkin Raha ada sesuatu yang ingin disampaikan.

    Saya anggap ini ketentuan Illahi, Jodoh pertemuan dan juga perpisahan adalah suratan dari-Nya. Kita sebagai manusia perlu menerima qada dan qadar yang tertulis untuk kita. Saya hanya memohon agar semua pihak mendoakan kebahagiaan saya dan keluarga. Saya selalu berdoa untuk diberi peluang sebegini. Alhamdulillah, tuhan makbulkan. Saya juga meminta agar isu perceraian kami tidak lagi dibangkitkan. Yang sudah berlaku, biarkan sahaja. Jangan anggap pendedahan saya ini sebagai serangan balas tetapi cuma ingin memberi penjelasan. Itu sahaja.

    Sumber: Utusan




    0 comments:

    Post a Comment